'Mahu sidang media, jika kena kompaun kamu bayar' - Anwar

Anwar (dua dari kanan) bersama pemimpin PH hadir menjamu selera di sebuah warung di Felda Tun Ghaffar, Kemendor pada Sabtu.
Anwar (dua dari kanan) bersama pemimpin PH hadir menjamu selera di sebuah warung di Felda Tun Ghaffar, Kemendor pada Sabtu.
A
A
A

JASIN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh meminta petugas media membayar kompaun sekiranya mahu beliau mengadakan sidang media.

Beliau yang hadir menjamu selera di sebuah warung di Felda Tun Ghaffar, Kemendor terlebih dahulu mengelak daripada membuat sebarang kenyataan meskipun petugas media telah menyediakan tempat yang sesuai.

"Mana boleh sidang media, SOP (prosedur operasi standard) tak benarkan. Saya tak mahu bayar kompaun RM10,000.

"Kamu semua (media) mahu sidang media? Kalau kena kompaun kamu bayar ya?" katanya.

Situasi itu menyebabkan petugas media yang kebanyakannya menempuh perjalanan lebih kurang satu jam untuk hadir membuat liputan di situ kecewa.

Cubaan media untuk mendapatkan kenyataan daripada Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu juga gagal.

"Tak boleh, tak boleh (bagi kenyataan) nanti RM4,000 (kena kompaun), saya tak ada duit," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan larangan aktiviti secara bersemuka bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, SOP bagi liputan media tidak jelas menyebabkan ada pemimpin politik bimbang dikenakan tindakan kompaun.

Difahamkan situasi sama berlaku ketika kehadiran Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika petugas hadir membuat liputan di Tanjung Bidara pada Jumaat.

Beliau menolak memberi sebarang kenyataan kepada media dengan alasan sama.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my