Harga ayam di Kedah berpatutan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Isu kenaikan harga ayam hingga mencecah RM10.50 sekilogram (kg) disebabkan masalah kekurangan bekalan sejak Isnin lepas tidak berlaku di bandar raya ini seperti di tempat lain.

Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip berkata, beberapa peniaga di premis berkenaan masih menetapkan harga berpatutan untuk sekilogram ayam yang dijual.

Menurut Mohd Fauzi, pihaknya mendapati harga ayam di bandar raya ini masih berpatutan kerana ia dijual antara RM7.90 hingga RM9 sekilogram.

"Hasil pemeriksaan kita mendapati, ada peniaga masih menjual ayam pada harga sekitar RM7.90 sekilogram dan paling mahal sekitar RM9 sekilogram.

"Jadi, kebanyakan pengguna menyerbu kedai yang menjual ayam RM7.90 sekilogram itu, namun kedai yang menjual ayam RM9 sekilogram tetap mendapat sambutan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau memaklumkan bekalan ayam mencukupi di bandar raya ini, sekali gus tidak timbul isu kekurangan bekalan bahan mentah yang menyebabkan kenaikan harganya.

Beliau memberitahu, setakat ini, pihaknya belum menerima rungutan tentang harga ayam daripada pengguna, sebaliknya kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan harga yang ditawarkan.

Tambah beliau, harga ikan terutama ikan kembung masih terkawal apabila dijual antara RM10 hingga RM14 sekilogram mengikut saiz walaupun musim tengkujuh telah bermula.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenaikan harga ayam di beberapa negeri misalnya Pahang selepas dikesan dijual RM10.50 sekilogram sejak Isnin susulan bekalan bahan mentah itu berkurangan.