MMA bimbang peningkatan kadar kebolehjangkitan Covid-19

Kadar Rt di negara ini meningkat kepada angka 1.0 dan ini mungkin tanda awal kes positif wabak itu akan melonjak. - Foto fail Bernama
Kadar Rt di negara ini meningkat kepada angka 1.0 dan ini mungkin tanda awal kes positif wabak itu akan melonjak. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) di negara ini kepada 1.04.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, pihaknya juga turut sedih apabila jumlah kes baharu Covid-19 mengatasi kes sembuh.

“Apatah lagi apabila mendengar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di Terengganu telah mencecah 84 peratus.

“Kami melihat ramai yang melakukan kerja harian mereka melupakan keperluan untuk memakai pelitup muka dengan sebetulnya dan mengekalkan penjarakan sosial,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporka berkata, kadar Rt di negara ini meningkat kepada angka 1.0 dan ini mungkin tanda awal kes positif wabak itu akan melonjak.

Beliau berkata, nilai Rt 1.0 bermakna kes akan mendatar dan tidak menurun.

Mengulas lanjut, Kar Chai berkata, vaksin, pelitup muka dan penjarakan sosial adalah tiga aspek utama dalam perjuangan melawan Covid-19.

“Rawatan perubatan yang telah tersedia adalah satu kebaikan tetapi pencegahan itu lebih baik daripada dijangkiti Covid-19 dengan kepercayaan bahawa terdapat rawatan perubatan yang tersedia.

Artikel Berkaitan:

“Seseorang itu mungkin tidak sampai ke tahap pemulihan walaupun dirawat dengan ubat terbaik yang ada,” jelasnya.

Beliau pada masa yang sama turut mengingatkan orang ramai agar jangan berpuas hati dengan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Jangan terpengaruh dengan berita yang mengatakan bahawa Malaysia sedang memasuki fasa endemik dan anda tidak berjaga-jaga tentangnya,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!