JPN terima 104,517 permohonan libat sijil kelahiran, IC dan kematian

Ruslin (dua dari kanan) menyerahkan Mykad kepada Sehah pada program Mekar dan penyerahan MyKad di Kuala Kangsar.
Ruslin (dua dari kanan) menyerahkan Mykad kepada Sehah pada program Mekar dan penyerahan MyKad di Kuala Kangsar.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Jabatan Pendaftaran Negara telah melaksanakan 4,116 Program Mekar dalam tempoh 2017 hingga 2021.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, menerusi program itu, sejumlah 104,517 permohonan diterima merangkumi urusan kad pengenalan, sijil kelahiran dan kematian.

"Sepanjang tahun 2017 sehingga kini, kita telah melaksanakan sebanyak 4,116 program ini di seluruh negara.

"Kita bukan sahaja fokus di kawasan pedalaman tetapi membantu mereka yang tidak berkeupayaan, sakit terlantar di hospital atau rumah yang tak boleh hadir ke pejabat JPN, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Mekar dan Penyerahan Kad Pengenalan (MyKad) di Bukit Chandan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pasukan petugas khas sedang giat menyemak dan mengemas kini maklumat serta status 63,620 individu berusia 90 tahun ke atas.

Katanya, program Mekar turut menyediakan perkhidmatan 'mobile' ihsan bagi permohonan itu.

"Menerusi perkhidmatan tersebut, permohonan penggantian MyKad telah dilaksanakan oleh Pasukan Bergerak JPN Perak.

Artikel Berkaitan:

"JPN Perak telah menjalankan sebanyak 47 program serta 58 khidmat nasihat sehingga 31 Oktober lalu," katanya.

Pada program itu, Ruslin turut menyerahkan MyKad kepada seorang warga emas, Sehah Alang Shafie, 98, yang dilahirkan di Parit pada tahun 1923.

Keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dan faktor umur menyebabkan Sehah tidak dapat hadir ke pejabat JPN berhampiran bagi proses permohonan gantian MyKad yang telah rosak.