'Sejarah BN belum berakhir'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – Seluruh jentera, ahli dan penyokong dengan semangat membara akan berpadu bagi membuktikan kepada Perikatan Nasional (PN) bahawa sejarah Barisan Nasional (BN) belum berakhir, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, penghinaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ‘mengisytiharkan’ sejarah BN telah berakhir akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

“Ternyatalah keputusan akar umbi UMNO pada Perhimpunan UMNO 2020 untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu langkah yang tepat.

“Kata-kata Presiden Bersatu (Muhyiddin) itu sekali gus menyerlahkan sebuah hipokrasi yang mencerminkan nawaitu sebenar Bersatu ke atas BN dan UMNO amnya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Muhyiddin yang mengatakan bahawa sudah sampai masanya landskap politik negara berubah dan sejarah BN berakhir.

Muhyiddin berkata, selepas enam dekad penguasaan BN, rakyat telah berubah dan bersikap lebih terbuka berikutan penguasaan teknologi maklumat yang banyak memberikan pengetahuan baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menyifatkan bahawa beliau sedih dengan kata-kata penghinaan yang dilontarkan oleh seorang yang sebelum ini menempa nama dalam dunia politik menggunakan dokongan dan sokongan daripada ahli akar umbi BN.

“Tidak mengapalah, Pengerusi PN mahu menyatakan apa pun kerana pendokong dan penyokong BN yang setia lebih mengenali perjuangan BN tiada penghujung noktahnya.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat juga telah melihat BN tidak pernah berundur daripada menjaga kepentingan mereka walau pernah dirobek angkara fitnah dan tipu daya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas,” jelasnya.

Tegas beliau, pelbagai tohmahan, fitnah, cercaan, kejian, hinaan dan cacian dilemparkan daripada pelbagai hala ditujukan kepada BN.

“Semua ini tidak pernah mengurangkan keyakinan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seluruh pendokong dan penyokong BN di seluruh negara.

“Yakinilah sejarah BN tidak akan terhenti dan sentiasa terus membara selagi ada daya dan upaya, ilham dan kudrat anugerah ilahi,” ujarnya.