Rekod cemerlang kumpulan bukan jaminan TFC menang: Nafuzi

Nafuzi Zain. - Foto Bernama
Nafuzi Zain. - Foto Bernama
A
A
A

STATUS juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah bukan jaminan buat skuad Terengganu FC (TFC) untuk menang ke atas Sarawak United FC malam Ahad.

Ketua jurulatih pasukan TFC, Nafuzi Zain mengakui agak bimbang untuk berdepan naib juara Liga Premier musim ini dalam perlawanan suku akhir saingan Piala Malaysia yang berbeza bahang dan cabarannya.

Bagaimanapun, dengan bertemu lawan di hadapan penyokong sendiri, Nafuzi yang juga jurulatih paling muda Liga Super berharap agar anak buahnya dapat memanfaatkan kelebihan tersebut untuk mengumpul seberapa banyak gol sebagai bekalan selesa sebelum bertandang ke Bumi Kenyalang dalam perlawanan timbal balik 18 November ini.

"Daripada segi prestasi peringkat kumpulan, anak buah saya telah mempamerkan persembahan cemerlang dengan menang dalam lima perlawanan dan seri ketika menentang Kuching City FC.

"Bagaimanapun tekanan di peringkat suku akhir berlainan kerana ia pusingan kalah mati. Apatah lagi jurulatih Ela (E. Elavarasan) yang saya tahu sentiasa menekankan disiplin tinggi sebagai persediaan untuk satu-satu perlawanan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Selain itu, Nafuzi turut mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman dua tonggak import Kenyalang Emas iaitu Sandro Da Silva dan Ucha Agra yang sentiasa menggusarkan lawan dengan siri serangan berbahaya.

Ia ditambah dengan disiplin bertahan Sarawak yang tinggi dan gandingan pemain sayap laju dan licik.

"Saya mahu pemain memberi sepenuh komitmen dan bermain mengikut perancangan supaya kita dapat catat keputusan positif dan kurangkan tekanan apabila bermain di tempat lawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Terengganu juga pasti tidak menurunkan tiga ‘ubi muda’ iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat, Hakimi Abdullah dan Azam Azmi Murad pada perlawanan pusingan kerana baru sahaja tamat menjalani tempoh kuarantin wajib selepas pulang bersama Skuad Kebangsaan Bawah 22 Tahun (B-22). - Bernama