Rt meningkat: KJ minta pakai pelitup muka, elak tempat sesak

Khairy dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya.
Khairy dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) Kebangsaan kepada 1.04.

Nilai Rt merujuk kepada tahap keberjangkitan kes Covid-19 iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Khairy dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya meminta orang ramai agar terus memakai pelitup muka, di samping mengelakkan tempat sesak dan mendapatkan suntikan penggalak.

“Rt Kebangsaan ialah 1.04. Terus amalkan pemakaian pelitup muka. Elakkan tempat yang sesak. Warga emas terutamanya, harus mendapatkan suntikan penggalak apabila ia tersedia untuk mereka. Amalkan #TRIIS,” katanya.

Sementara itu, dalam temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM, Khairy memberitahu, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat negara ini dilihat masih tidak ketat.

“Misalnya, pelitup muka. Saya tengok rata-rata tempat, mereka meletakkannya di dagu. Ini pelitup muka, bukan pelitup dagu.

“Benda yang nampak mudah, tapi saya lihat pematuhan itu sudah semakin kurang. Sebab itu saya terpaksa ingatkan banyak kali. Untuk kita beralih dan hidup dengan virus ini, perkara macam ini penting,” jelasnya.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, Rt di negara ini meningkat kepada 1.0 dan ia mungkin tanda awal kes positif wabak itu akan melonjak.

Artikel Berkaitan:

Rt 1.0 bermakna kes akan mendatar dan tidak menurun.

ARTIKEL BERKAITAN:Rt kembali 1.0: KKM pantau kemasukan kes ke hospital