Fun Map Of Port Dickson perkenal lokasi menarik di PD

Foto MPPD
Foto MPPD
A
A
A

PORT DICKSON - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memperkenalkan Fun Map Of Port Dickson sebagai inisiatif merancakkan semula aktiviti pelancongan di pusat peranginan daerah berkenaan yang suram hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Muhammad Zaki Yahya berkata, brosur tersebut mempunyai 'QR Code' bagi memudahkan pengunjung mendapatkan lokasi serta maklumat tentang pelancongan menarik di daerah ini secara cepat dan interaktif.

Katanya, brosur berkenaan diedarkan secara berperingkat ke-67 hotel di Port Dickson yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Sebanyak 100 helai brosur Fun Map Of Port Dickson diberikan kepada pihak hotel dan kemudian mereka (pihak hotel) akan mengedarkan kepada pengunjung yang datang menginap ke hotel masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Program Edaran Fun Map Pelancongan Port Dickson yang turut dihadiri Pengarah MOTAC Negeri Sembilan, Siti Mazlina Maidin.

Antara lokasi menarik di Port Dickson menerusi Fun Map Of Port Dickson adalah ekopelancongan seperti PD Forest Sungai Menyala, pelancongan pertanian di Homestay Kampung Pachitan di samping pelancongan pantai termasuk Pantai Teluk Kemang, Pantai Cahaya Negeri dan Pantai Tanjung Biru.

Selain itu, beliau berkata, terdapat pelancongan pendidikan seperti melihat anak bulan di Balai Cerap Teluk Kemang, melihat bintang di Taman Eco Rimba Pasir Panjang serta pengunjung boleh menikmati pelancongan makanan, melakukan aktiviti snorkeling Port Dickson dan mencari buaya di kelong memancing.

Katanya, pemantauan dan pengawasan di setiap lokasi tumpuan sentiasa dilakukan bagi memastikan orang ramai menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: