Kes positif Covid-19 menurun kepada 5,809

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Selepas tiga hari berturut-turut kes baharu Covid-19 mencatatkan angka melebihi 6,000, pada Sabtu ia berkurang sedikit kepada 5,809 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 5,707 kes atau 98.2 peratus adalah kategori satu dan dua (tidak bergejala dan bergejala ringan), manakala 102 lagi atau 1.8 peratus berada dalam kategori tiga, empat serta lima (melibatkan radang paru-paru, bantuan oksigen dan bantuan pernafasan).

"Sebanyak 527 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 277 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,712 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan kumulatif kes sembuh kini 2,446,197.

Beliau berkata, tiga kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Jalan Tiga Danau Kota, di sini; Kluster Industri Dua Jalan Anggerik Mokara 472, Selangor dan Kluster Sawit Endau, Pahang yang semuanya merupakan kluster tempat kerja.

Selain itu, nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara juga meningkat kepada 1.04 berbanding 1.0 pada Jumaat.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. - Bernama

Artikel Berkaitan: