Tiga sindiket edar dadah antarabangsa ditahan

Rahimi (dua dari kiri) menunjukkan bekalan dadah dan senjata api yang dirampas dari suspek.
Rahimi (dua dari kiri) menunjukkan bekalan dadah dan senjata api yang dirampas dari suspek.
A
A
A

GEORGETOWN- Tiga lelaki yang merupakan sindiket pengedaran dadah rangkaian antarabangsa ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang pada 11 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 19.2 kilogram (kg) syabu bernilai RM690,635 di bilik hotel berkenaan.

Menurutnya, ahli sindiket itu dipercayai menjadikan bilik hotel itu sebagai transit sebelum ia diseludup ke negara jiran melalui laluan laut.

"Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada jam 9.15 malam dan menahan tiga lelaki berusia antara 34 hingga 41 tahun.

"Kita turut merampas 18 bungkusan plastik berwarna hijau keemasan berisi ketulan hablur kristal iaitu dadah syabu seberat 19.2 kg bernilai RM690,635," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Katanya, polis turut merampas dua pucuk pistol bersama satu kelopak mengandungi 16 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm).

"Selain itu, kita juga merampas satu kelopak yang terdapat tiga butir peluru bersaiz 9mm serta lima buah telefon bimbit. Tiga suspek yang merupakan penduduk tempatan itu dipercayai sedang menunggu masa untuk ke laut bagi menghantar dadah berkenaan ke negara jiran.

"Kita percaya, ahli sindiket membawa bekalan dadah melalui bot namun semuanya masih dalam siasatan. Polis juga mengesyaki sedang mengesan beberapa lagi ahli termasuk dalang utama sindiket tersebut yang dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rahimi menambah, pihaknya sedang menyiasat sama ada senjata api yang dirampas digunakan untuk kegiatan jenayah lain atau sebaliknya.

"Kita percaya ia digunakan untuk urusan beli dadah dan mempertahankan diri. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan. Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah.

"Mereka yang bekerja sendiri juga mempunyai rekod jenayah empat hingga 10 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.

Kesemua dadah berkenaan boleh digunakan oleh 95,922 penagih.