CEO HASiL Mohd Nizom dilantik sebagai Pengerusi CATA

Mohd Nizom
Mohd Nizom
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Mohd Nizom Sairi dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA) bagi penggal 2021-2024 berkuat kuasa semalam.

HASiL menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu pengiktirafan negara-negara anggota kepada Malaysia dan kepada lembaga itu atas segala sumbangan terhadap perkembangan dan pemodenan sistem percukaian pada masa ini.

"Malaysia dilihat mampu membawa pertubuhan ini ke fasa seterusnya dalam menangani isu-isu percukaian antarabangsa yang kian mendapat perhatian di peringkat global. Pelantikan ini turut mengiktiraf suara Malaysia di persada dunia," menurut HASiL dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

CATA adalah pertubuhan percukaian antarabangsa yang dianggotai oleh pentadbir cukai dari 47 negara Komanwel.

Ia adalah pertubuhan percukaian terbesar di dunia mengikut bilangan keahlian pentadbir cukai dan objektif utama CATA adalah untuk membantu negara-negara anggota mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pentadbiran percukaian.

CATA sehingga kini telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan pemodenan pentadbiran percukaian dan penggunaan polisi, proses dan prosedur kerja yang efisien dalam kalangan negara-negara Komanwel terutamanya kepada negara-negara membangun.

Malaysia adalah pengerusi ke-15 CATA sejak penubuhannya pada tahun 1979. - Bernama

Artikel Berkaitan: