Kadar kemajuan projek ERCL capai 25.09 peratus

Mohd Shahar (tengah) bersama pemenang pada majlis penyampaian hadiah pertandingan fotografi 'discover' ECRL Paya Besar di pusat khidmat rakyat Paya Besar, Jalan Bypass pada Sabtu.
Mohd Shahar (tengah) bersama pemenang pada majlis penyampaian hadiah pertandingan fotografi 'discover' ECRL Paya Besar di pusat khidmat rakyat Paya Besar, Jalan Bypass pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Kadar kemajuan keseluruhan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada 2026 kini telah mencapai 25.09 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan kemajuan projek berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"Ini adalah satu prestasi yang cukup baik dari segi kemajuan projek ECRL. Setakat ini, masih ada 75 peratus lagi baki projek pembangunan projek ECRL dalam tempoh lima tahun.

"Jadi, kita (Kementerian Kewangan) dan kerajaan Persekutuan optimis untuk memastikan projek ECRL disiapkan seperti dijadualkan iaitu pada Disember 2026," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas berakhirnya majlis penyampaian hadiah pertandingan fotografi 'discover' ECRL Paya Besar di pusat khidmat rakyat Paya Besar, Jalan Bypass pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwish Abdul Razak dan Pengarah Urusan China Communications Construction Sdn Bhd (CCC- ECRL), Kong Qi.

Mohd Shahar berkata, terdapat tujuh stesen ECRL akan dibina di Pahang dan pembinaan laluan itu termasuk dalam di kawasan Parlimen Paya Besar.

Menurutnya, laluan ECRL itu nanti dijangka dapat memacu industri pelancongan di Paya Besar dan seterusnya menjadikan kawasan rekreasi popular sebagai destinasi pelancongan utama.

Artikel Berkaitan:

"Antara yang menjadi tempat tarikan pelancong termasuk Air Terjun Sungai Pandan, Bukit Panorama, Gua Charas dan Taman Eko Jerangkang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rangkaian rel ECRL sepanjang 665 kilometer merangkumi stesen penumpang dan kargo di Paya Besar dijangka merancakkan lagi aktiviti-aktiviti yang melibatkan perjalanan dan hospitaliti, menggalakkan perniagaan, peluang pelaburan serta meningkatkan prospek pekerjaan yang bersesuaian dengan penduduk tempatan.

"Paya Besar akan menjadi lebih menarik dengan adanya sokongan infrastruktur rel yang moden dan efisien yang dapat merangsang penumbuhan sosioekonomi bagi masyarakat bandar dan separa bandar di Panching, Lepar dan Sungai Lembing," katanya.

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, perjalanan masyarakat tempatan akan menjadi lebih mudah dengan adanya stesen ECRL Paya Besar yang terletak di kawasan strategik.

"Stesen itu terletak bersebelahan dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Residensi Gambang 3 dan hanya jarak berjalan kaki ke kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang.

"Masyarakat Paya Besar boleh menggunakan perkhidmatan ECRL melalui stesen ECRL KotaSAS di Bandar Baru Kuantan yang terletak berhampiran dengan Paya Besar," katanya.