Empat sekawan ditahan samun kereta mewah

Rahimi menunjukkan gambar kereta yang berjaya ditemui selepas dilarikan empat lelaki dalam kejadian samun bersenjata pada 21 Oktober lalu.
Rahimi menunjukkan gambar kereta yang berjaya ditemui selepas dilarikan empat lelaki dalam kejadian samun bersenjata pada 21 Oktober lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan empat lelaki selepas menyamun dua buah kereta mewah di sebuah pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah di sini.

Dalam kejadian pada 21 Oktober lalu itu, keempat-empat suspek yang bersenjatakan parang membawa lari dua buah kereta jenis Mercedes Benz dipercayai untuk dijual kepada pihak ketiga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, polis menerima laporan tentang kejadian itu daripada pemilik pusat servis kereta tersebut lalu menjalankan operasi mengesan suspek.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat awam, polis menahan empat lelaki berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun di beberapa lokasi berasingan.

"Kita menahan kesemua suspek di Kulim, Sungai Petani dan Teluk Intan dalam operasi yang bermula 21 Oktober sehingga 11 November lalu.

"Kita merampas dua buah kenderaan yang dicuri di Teluk Intan, Perak dan Serdang, Kuala Lumpur. Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif syabu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Rahimi berkata, kesemua mereka mempunyai rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah.

"Suspek pertama mempunyai 20 rekod jenayah; suspek kedua enam, ketiga 19 dan keempat 11 rekod. Semakan mendapati, kedua-dua kereta mewah itu dihantar pemilik ke pusat servis tersebut untuk diselenggara.

Artikel Berkaitan:

"Nilai kedua-dua kenderaan itu adalah RM400,000 mengikut harga pasaran. Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (kesalahan melakukan samun) dan Seksyen 379a Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kenderaan)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, polis Perak turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (kesalahan cubaan membunuh) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda.

"Ini kerana salah seorang yang ditangkap dalam kes ini telah melanggar sebuah kereta pasukan yang dipandu oleh polis ketika cubaan melarikan diri daripada ditangkap di Teluk Intan," katanya.