Mancini optimis Itali ke Piala Dunia 2022

Pemain Itali, Giovanni Di Lorenzo (tengah), menanduk masuk go penyamaan pada perlawaanan berkenaan. - Foto EPA
Pemain Itali, Giovanni Di Lorenzo (tengah), menanduk masuk go penyamaan pada perlawaanan berkenaan. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini optimis skuad kendaliannya itu bakal mengesahkan slot ke saingan Piala Dunia 2022 biarpun sekadar terikat 1-1 ketika berdepan Switzerland pada Sabtu.

Menurut Mancini, biarpun terlepas peluang untuk layak secara automatik berikutan kegagalan Jorginho menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan, namun dia tetap yakin skuad Azzurri itu sudah hampir pasti beraksi di pentas Piala Dunia 2022 dan sekali gus menebus kekecewaan gagal layak ke Piala Dunia 2018 lalu.

“Bagi saya, ia perkara normal (gagal jaringkan penalti). Pemain juga telah meminta maaf, tetapi tidak ada apa yang boleh dilakukan pada ketika ini.

“Walaupun penalti itu diberikan pada minit ke-90 atau pada masa kecederaan dan seharusnya di sempurnakan, tetapi sudah tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi.

“Cuma yang pasti, pasukan ini akan beraksi di Piala Dunia 2022 kelak dan saya cukup yakin dengan perkara ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Switzerland lebih dahulu mengejutkan Itali menerusi jaringan pemain pertahanan, Silvan Widmer pada minit ke-11.

Bagaimanapun, pemain pertahanan Itali, Giovani Di Lorenzo memanfaatkan peluang di depan pintu gol Switzerland bagi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36.

Keputusan itu menyaksikan Itali dan Switzerland berkongsi 15 mata setelah mengharungi tujuh perlawanan setakat ini, cuma dibezakan dengan jumlah jaringan.

Artikel Berkaitan:

Justeru aksi terakhir yang menyaksikan Itali berdepan Ireland Utara dan Switzerland berdepan Bulgria pada 16 November ini, dilihat bakal menentukan juara dan naib juara kumpulan berkenaan.

Sementara itu Mancini berkata, Itali memiliki kelebihan dari segi jaringan gol dan pemain diminta untuk memberikan fokus untuk menghasilkan lebih banyak jaringan ketika berdepan Ireland Utara, nanti.

Katanya, biarpun kelihatan sukar, namun Mancini tetap yakin pemain akan mencuba sebaik mungkin bagi menghasilkan jaringan dan memenangi perlawanan berkenaan.

“Kami bertandang ke Ireland untuk mencatatkan kemenangan. Kami akan bermain dengan cara kami untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.