Beruk sesat masuk tandas sekolah

Anggota bomba menggunakan serkupan untuk menangkap beruk yang sesat dalam tandas sekolah.
Anggota bomba menggunakan serkupan untuk menangkap beruk yang sesat dalam tandas sekolah.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seekor beruk yang dipercayai sesat dan masuk dalam tandas di Sekolah Rendah Agama (SRA) Parit 9 Sekinchan, di sini, ditangkap anggota bomba.

Dalam kejadian jam 2 petang itu beruk dianggarkan berumur lebih dua tahun itu memasuki tandas lelaki di tingkat atas bangunan sekolah itu.

Guru Besar SRA Parit 9 Sekinchan, Siti Azlina Ngali berkata, kehadiran haiwan itu disedari murid yang ingin menggunakan tandas berkenaan.

"Murid yang terkejut dengan kehadiran beruk itu kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada guru yang terus menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

"Syukur, pasukan bomba kemudiannya berjaya menangkap haiwan itu dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pegawai Bomba Mohd Syafarin Jais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.41 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba dengan sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

"Sejurus tiba, kami didapati seekor beruk berada dalam tandas berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap beruk menggunakan peralatan khas penjerut dan teknik serkupan kain sebelum dilepaskan ke habitat asalnya.

"Anggota bomba terpaksa mengambil langkah berhati-hati kerana beruk itu bertindak agresif semasa hendak ditangkap," katanya.