India buka kemasukan pelancong termasuk dari Malaysia mulai Isnin

Taj Mahal. - Foto 123rf
Taj Mahal. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - India bakal membuka pintu negaranya kepada warga asing yang lengkap vaksin Covid-19 dari seluruh dunia termasuk Malaysia mulai Isnin (15 November), tanpa syarat kuarantin.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy berkata, pengembara ke India hanya perlu menjalani ujian saringan pra-ketibaan untuk Covid-19 di negara asal, 72 jam sebelum berlepas.

Pelancong dari negara berisiko rendah dikehendaki membuat pemantauan kesihatan kendiri selama 14 hari selain perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.

"Selain itu, kerajaan India akan menawarkan kemasukan tanpa visa kepada 500,000 pelawat asing pertama ke negara itu, bagi merancakkan kembali sektor pelancongan," kata Reddy kepada Bernama selepas menghadiri acara Promosi Pelancongan India di sini pada Jumaat.

Acara itu dihadiri kira-kira 50 pemain industri pelancongan dan pengembaraan di Malaysia iaitu daripada Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA) dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Reddy berkata, Pusat Visa India IVS Global di Kuala Lumpur akan beroperasi mulai Isnin dan sejak tiga minggu lalu permohonan untuk visa India daripada rakyat Malaysia meningkat sehingga 150 peratus.

Mengulas lanjut, Reddy berkata, sehingga kini, terdapat 96 negara mempunyai perjanjian dengan India untuk pengiktirafan bersama sijil vaksinasi, sambil menambah bahawa kerajaan India masih menunggu maklum balas positif daripada Malaysia berhubung perkara itu.

"Kedua-dua kerajaan (Malaysia dan India) juga sedang mengadakan perbincangan untuk mengadakan kerjasama gelembung perjalanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana berjaya memvaksin 95 peratus populasi dewasa sehingga kini,

Reddy turut mengalu-alukan cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya sempadan negara dibuka kepada warga asing selewat-lewatnya 1 Januari.

"Sebelum Covid-19, kira-kira 700,000 pelancong India melawat Malaysia, menduduki senarai 10 negara utama mengunjungi Malaysia dan lima negara paling banyak berbelanja di negara ini," kata Reddy.

Tambahnya, hubungan antara rakyat ini menjadi antara nadi utama kepada hubungan diplomatik India dan Malaysia.

Keputusan kerajaan India menyenaraikan Malaysia antara negara tidak berisiko untuk penularan Covid-19, dijangka mempermudah perjalanan antara kedua-dua negara,

Kerajaan India sebelum ini mengumumkan visa pelancong tersedia untuk warga asing yang tiba dengan penerbangan sewa khas mulai 15 Oktober dan mereka yang tiba dengan penerbangan komersial biasa mulai 15 November. - Bernama