Scolani gembira kemenangan Argentina

Penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera gagal menyekat rembatan penyerang Argentina, Angel Di Maria pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar, pada Sabtu. - Foto EPA
Penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera gagal menyekat rembatan penyerang Argentina, Angel Di Maria pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar, pada Sabtu. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Argentina Lionel Scaloni gembira dengan aksi cemerlang kesebelasan pemain ketika menewaskan Uruguay 1-0 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar, pada Sabtu.

Menurut Scaloni, biarpun tidak menurunkan penyerang sensasi, Lionel Messi dalam kesebelasan utama, namun pemain yang diturunkan telah mempamerkan aksi mantap di sepanjang perlawanan.

Justeru katanya, kemenangan berkenaan diharap dapat menyuntik semangat skuad Albiceleste itu untuk beraksi dengan lebih baik ketika berdepan Brazil pada 17 November.

“Adakalanya, kita perlu mencatatkan kemenangan dan kali ini kita berjaya melakukannya (menang).

“Walaupun tidak beraksi dengan baik, tetapi sudah tentu ia (kemenangan) akan dilihat dari sudut yang positif.

“Seterusnya ia akan memberikan motivasi kepada pemain untuk meneruskan aksi terbaik itu dan mencatatkan lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Di Maria memanfaatkan kesilapan pertahanan Uruguay, Joaquin Piquerez sebelum merembat melepasi jangkauan penjaga gol, Fernando Muslera.

Mengulas lanjut, Scaloni berkata, dia tidak menurunkan Messi dalam kesebelasan utama kerana tidak mahu berdepan risiko kecederaan pemain berkenaan menjelang aksi berdepan Brazil, 17 November ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia mahu memastikan kesebelasan terbaik dapat diturunkan ketika berdepan Brazil nanti bagi meraih kemenangan di depan penyokong sendiri.

“Kita tidak mahu berdepan risiko kecederaan Messi, kerana difahamkan dia kini mengalami sedikit kecederaan di bahagian lutut, dan diharapkan ia tidak serius.

“Apa pun, kita berharap untuk menurunkan kesebelasan terbaik ketika berdepan Brazil nanti dan untuk itu sudah pasti kita mahukan Messi untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.