X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

147 pengunjung pusat hiburan dikompaun langgar SOP

- Gambar hiasan
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 147 individu melibatkan pengunjung dan seorang penjaga sebuah pusat hiburan di Taman Ekoflora di sini, dikompaun berjumlah RM760,000 selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua mereka yang berusia 18 hingga 53 tahun itu ditahan menerusi Ops Hiburan kira-kira jam 10.30 malam.

"Dalam serbuan itu, polis mengeluarkan kompaun RM5,000 terhadap setiap 147 individu membabitkan 95 lelaki termasuk seorang penjaga premis, 51 wanita dan seorang wanita warga asing.

"Selain itu, polis turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM25,000 kepada penjaga premis berkenaan atas kesalahan beroperasi tanpa lesen yang sah dan melanggar SOP," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, semakan rekod terhadap wanita warga asing yang ditahan mendapati dia telah berkahwin dengan seorang lelaki tempatan dan dokumen pengenalan dirinya masih sah.

Katanya, antara peralatan yang dirampas adalah tiga resit perniagaan, satu mikrofon dan satu amplifier.

Kesemua mereka dikompaun mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor.

Raub meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!