Polis patah cubaan seludup beras siam

Polis mematahkan cubaan menyeludup masuk 700kg beras siam ke negara ini selepas menahan sebuah kereta Proton Iswara di Kampung Kedondong, Pasir Mas pada Jumaat.
Polis mematahkan cubaan menyeludup masuk 700kg beras siam ke negara ini selepas menahan sebuah kereta Proton Iswara di Kampung Kedondong, Pasir Mas pada Jumaat.
A
A
A

PASIR MAS - Polis mematahkan cubaan menyeludup masuk 700 kilogram (kg) beras siam ke negara ini selepas menahan sebuah kereta Proton Iswara di Kampung Kedondong, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, selain itu pihaknya turut menemui 100kg beras pulut di dalam kereta tersebut hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan.

"Nilai keseluruhan rampasan beras siam dan pulut itu termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM5,500," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, kejayaan rampasan beras siam dan pulut seludup ini hasil maklumat yang diterima oleh polis berkait dengan aktiviti penyeludupan.

Katanya, pada jam 10.30 pagi, polis telah menerima maklumat berkait dengan aktiviti itu dan anggota unit kereta peronda polis terus bertindak menghala ke lokasi di jalan Kampung Apa-Apa.

Mohd Nasaruddin berkata, sejurus tiba di lokasi, pihaknya telah terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Gelang Mas menghala ke simpang tiga Kampung Kedondong.

"Anggota bertugas telah mengarahkan pemandu kereta itu untuk berhenti, namun pemandunya telah bertindak memecut laju masuk ke Kampung Kedondong.

"Secara tiba-tiba selepas itu, pemandu kereta tersebut bertindak menghentikan kereta yang dipandu dan kemudian terus melarikan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemui muatan beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Beliau berkata, kesemua beras yang dirampas itu akan diserahkan kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.