X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Kes kembali meningkat, adakah rakyat semakin leka?

A
A

PADA Jumaat, jangkitan kes Covid-19 mencatatkan peningkatan berbanding semalam merekodkan sebanyak 6,517 kes berbanding 6,323 kes.

Mengikut data CovidNow, lima negeri dipercayai mencatatkan peningkatan kes Covid-19 iaitu Kelantan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Perak.

Kelantan merekodkan peningkatan kes dalam tempoh seminggu dipercayai berkaitan cuti umum sempena perayaan Deepavali pada 4 November lalu.

Adakah dengan benaran rentas negeri yang diumumkan menyebabkan rakyat Malaysia semakin leka dengan kes harian Covid-19?

Mengikut data CovidNow, bagi tempoh bermula dari 4 November hingga 11 November 2021, kes harian di Kelantan meningkat dari 484 kes kepada 806 kes.

Peningkatan mendadak di negeri tersebut direkodkan pada 8 November lalu iaitu sebanyak 820 kes berbanding dengan 376 kes pada hari sebelumnya.

Trend peningkatan kes Covid-19 juga direkodkan di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Perak.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau kemasukan kes ke hospital dan lain-lain indikator susulan kadar kebolehjangkitan (Rt) negara kembali meningkat kepada nilai 1.0.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapannya juga menasihati orang ramai agar hadir bagi mendapatkan dos penggalak selepas diberi tarikh janji temu.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapnya memaklumkan Rt negara kembali kepada nilai 1.0 pada Khamis.

Dua wilayah dan empat negeri mencatat nilai Rt melebihi 1.0 iaitu Putrajaya (1.16), Kuala Lumpur (1.04), Selangor (1.03), Kelantan (1.02), Negeri Sembilan (1.01) dan Pahang (1.01).

Nilai Rt bagi negeri lain adalah Sabah (0.98), Kedah (0.98), Melaka (0.94), Perlis (0.94), Johor (0.93), Pulau Pinang (0.91), Terengganu (0.90), Perak (0.88) dan Sarawak (0.87).

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani selesai menerima dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Khamis.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya berkata, Acryl Sani dan beberapa pegawai kanan PDRM menerima suntikan penggalak berkenaan di Hospital Pakar KPJ Kuala Lumpur.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!