Kerajaan campuran akan timbul isu bahagi kerusi Exco

Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
A
A

KUALA LUMPUR – Cadangan mewujudkan kerajaan campuran UMNO dan Pas dijangka akan berdepan masalah pembahagian kerusi Exco kerajaan negeri.

Hal demikian untuk merealisasikannya parti yang menguasai kerajaan perlu mempraktikkan konsep memberi dan menerima,” kata Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

“Idea kerajaan campuran ini satu cadangan peringkat kedua dalam kerjasama UMNO dan Pas. Saya lihat ia sesuatu yang biasa bagi parti yang bekerjasama, di negeri-negeri ditadbir pembangkang ini bukan isu yang rumit.

“Cuma kalau parti yang menguasai kerajaan berkira soal tentang pembahagian kerusi mereka dalam DUN mungkin susah juga nak kompromi, sebab kerajaan campuran bermakna dua parti atau lebih ada suara dalam Exco,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Ahmad Kamal menambah, bagi negeri-negeri yang kini di bawah pemerintahan PH, mungkin akan goyah kerana UMNO dan Pas mungkin akan berjaya membentuk kerajaan baharu kerana mereka memiliki majoriti kerusi.

“Ia satu fenomena yang menarik, tapi adakah ini akan berlaku? Apa-apa pun kalau nak membentuk kerajaan campuran perlu ada kompromi iaitu memberi dan menerima.

“Jika tidak, kerajaan campuran tidak akan stabil. Untuk Kedah dan Perak pula, sekiranya pembangkang dapat menguasai DUN ia akan jadi satu situasi yang menarik. Perak misalnya, adakah peristiwa BN mengambil alih kerajaan Perak akan berulang?, soalnya.

Tidak menolak kemungkinan, Nik Ahmad Kamal menegaskan, sememangnya cadangan kerajaan campuran ini akan mengancam PH.

“Semestinya (ancaman) terhadap PH, kerana ia langkah seterusnya kerjasama menuju PRU15 untuk UMNO dan Pas,” ujarnya.

Perkara ini bangkit apabila, Timbalan Presiden UMNO menyatakan cadangan mewujudkan kerajaan campuran di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis sudah dikemukakan kepada Pas, namun perkara ini masih pada peringkat cadangan sebelum perbincangan lanjut dibuat.

Katanya, pada peringkat UMNO jawatankuasa kerja sudah dibentuk dengan dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa yang dibentuk Pas kelak.

“Saya dah bincang dengan Pas dan akan memulakan kerjasama kedua-dua parti ini dengan mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah bermula di Terengganu diikuti Pahang, Kelantan dan Perlis.

“Sementara di Perak dan Kedah yang mempunyai perbezaan kecil kerusi antara Pas, BN dan PH juga sedang teliti, sama ada untuk bersama (UMNO dan Pas) atau tidak,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia