X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Usaha Tuan Ibrahim martabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa

Tuan Ibrahim ketika menyampaikan kenyataan negara pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland, pada Rabu.
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa, Rabu lalu adalah sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa Kebangsaan di persada antarabangsa.

Bercakap secara eksklusif kepada Sinar Harian, beliau berkata, sebelum Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland berlangsung, terdapat beberapa siri pertemuan diadakan di peringkat zon.

"Saya telah menghadiri dua program besar dan melihat mereka menggunakan bahasa masing-masing sewaktu pra perundingan," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, apabila menghadiri persidangan UNFCCC COP-26, beliau mengikuti dan menyaksikan pemimpin-pemimpin dunia seperti Jepun, Korea dan Arab termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo berucap dalam bahasa ibunda mereka.

"Saya lihat ini satu perkara besar dalam konteks memartabatkan bahasa ibunda di peringkat antarabangsa," katanya.

Justeru, beliau membuat keputusan untuk berucap dalam bahasa Melayu bagi menyatakan pendirian negara.

"Soal kefahaman tidak timbul kerana penganjur menyediakan teks dalam bahasa Inggeris yang boleh diekses oleh semua peserta persidangan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan Sinar Harian terhadapnya pada persidangan tersebut.

Tindakannya itu mendapat pujian daripada beberapa pihak termasuklah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyifatkan beliau sebagai pejuang bahasa Melayu di Scotland.

"Banyak komen berhubung penggunaan bahasa, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak," katanya.

Jelasnya, sebagai sebuah negara yang telah mencapai kemerdekaan sejak 64 tahun lalu, penting untuk semua mendaulatkan bahasa Kebangsaan.

"Bahasa Melayu merupakan bahasa kelima di dunia bagi jumlah populasi penggunaannya kerana rantau ini sangat luas," katanya.

Sehubungan itu, katanya, bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa ilmiah, antarabangsa dan perundingan yang boleh diterimapakai dan difahami.

"Insya-ALLAH dengan sedikit usaha yang saya buat akan memangkin usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa," katanya.

Tuan Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuan Ibrahim berbahasa Melayu di Scotland


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!