Guna kebijaksanaan nilai janji ditabur

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Pengundi di negeri ini diminta menggunakan kebijaksanaan masing-masing sebelum memberi undi kepada setiap calon bertanding dengan menilai fakta serta janji-janji yang dikemukakan.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, setiap undi adalah bermakna dan merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan oleh setiap warganegara.

Katanya, calon yang diundi bakal menjadi pemimpin, seterusnya terlibat dalam proses menggubal polisi dan undang-undang yang perlu dipatuhi semua pihak.

Menurutnya, kumpulan calon yang menang dalam pilihan raya bakal memimpin masyarakat dan menentukan hala tuju kerajaan negeri.

“Oleh sebab itu, setiap pengundi harus berhati-hati agar tidak termakan janji-janji manis yang diumpan oleh calon atau penyokongnya.

“Mungkin ada calon bertanding yang membuat janji kepada pengundi supaya memilih mereka dan sudah menjadi lumrah dalam kempen pelbagai janji ditaburkan.

“Malah, kadangkala perkara mustahil pun turut dijanjikan semata-mata untuk mendapatkan sokongan.

“Maka semua pengundi mesti berhati-hati dan menggunakan kebijaksanaan dalam menilai semua janji yang ditawarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khairil Azmin berkata, dalam menentukan siapakah calon pilihan yang terbaik, pengundi boleh membuat pertimbangan berdasarkan beberapa faktor seperti parti, pengalaman calon atau isu yang diperjuangkan.

Jelasnya, bagi pengundi yang mengambil pendirian mengikut salah satu faktor tersebut, janji-janji calon mungkin tidak banyak memberi kesan kerana mereka sudah menetapkan keputusan yang tidak berbelah bahagi.

“Jika pengundi berpegang teguh menyokong parti dan pimpinan parti yang disokong, maka apa sahaja janji yang diberikan oleh calon lain tidak akan memberi kesan.

“Ini kerana pengundi tersebut berpegang pada dasar perjuangan dan prinsip parti yang disokong, malah akan hanya memberi keutamaan kepada perjuangan parti.

“Pengundi seperti ini mengutamakan idealisme dan prinsip parti berbanding faktor lain,” ujar beliau.

Dalam keadaan sebegini kata Khairil Azmin, pengundi tersebut seharusnya menilai prestasi dan pemimpin parti dengan melihat sejarah serta pencapaiannya.