FAM serius wujudkan skuad bola sepak pantai

Rosmadi Ismail
Rosmadi Ismail
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) serius dalam usaha mewujudkan skuad bola sepak pantai negara pada masa depan.

Malah menurut Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, pihaknya juga akan membangunkan sistem yang baik bagi memastikan usaha berkenaan dapat direalisasikan.

“Sebelum ini, memang kita ada team (pasukan), tetapi semuanya kita buat secara ad-hoc basis, dan semuanya tidak tersusun.

“Oleh itu, kali ini kita rancang untuk buat dengan lebih teratur dan tersusun; kita nak buat liga, scouting pemain, lepas tu jurulatih, tempat latihan dan sebagainya.

“Malah kita juga dah merancang untuk wujudkan liga kebangsaan (bola sepak pantai) kita, namun dua tahun pandemik Covid-19, usaha itu terbantut dan kalau dilihat futsal kita dah on dan bola sepak pantai pun kita dah rancang nak buat di Desaru, tetapi tertangguh,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Rosmadi berkata demikian bagi mengulas mengenai kejayaan pasukan bola sepak pantai, Markless Komii yang muncul juara Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2021 di Chonburi Thailand pada Khamis.

Sementara itu, Rosmadi berkata, Markless Komii bukan pasukan yang berada di bawah pengurusan FAM, sebaliknya skuad itu adalah pasukan luar yang menyatakan persetujuan untuk dihantar menyertai kejuaraan berkenaan.

“Untuk kejohanan itu, kita sudah bincang dalam jawatankuasa dan didapati kita berdepan kekangan masa untuk kumpul pemain, latihan dan kita buat keputusan untuk tidak hantar pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, pada saat akhir pihak penganjur meminta kita hantar pasukan dan sebab itu kita kenal pasti pasukan luar yang sedia untuk sertai kejohanan ini.

“Jadi, kita tanya dia (Markless Komii), dia nak pergi ke? Maksudnya bukan di bawah pengurusan kita. Dia bersetuju dan kita gembira kerana mereka berjaya muncul juara,” katanya.