Thailand tangguh buka pusat hiburan ke pertengahan Januari

mesyuarat CCSA pada Jumaat bersetuju menangguhkan pembukaan semula pub, bar dan karaoke di seluruh negara yang sepatutnya dibuka pada 1 Disember.
mesyuarat CCSA pada Jumaat bersetuju menangguhkan pembukaan semula pub, bar dan karaoke di seluruh negara yang sepatutnya dibuka pada 1 Disember.
A
A
A

BANGKOK - Thailand menangguhkan pembukaan semula pusat hiburan ke 16 Jan untuk memastikan semua langkah keselamatan sewajarnya sudah diambil sebagai persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan jangkitan Covid-19.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha ketika mempengerusikan mesyuarat CCSA pada Jumaat bersetuju menangguhkan pembukaan semula pub, bar dan karaoke di seluruh negara yang sepatutnya dibuka pada 1 Disember.

Beliau berkata, pusat hiburan diwajibkan untuk memastikan sistem pengudaraan yang baik serta selain mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu bagi memastikan pembukaan semula yang selamat.

“Semua staf pusat hiburan mesti lengkap vaksinasi,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Jumaat.

Beliau menambah, pihak berkuasa akan menjalankan projek perintis dengan membenarkan pembukaan semula tempat hiburan di kawasan berisiko rendah terlebih dahulu.

Pada awal April, Thailand menutup semua pusat hiburan berikutan lonjakan kes Covid-19 melibatkan kluster hiburan di Bangkok yang kemudian merebak ke semua 77 wilayah di negara ini.

Bulan lalu, Prayuth berkata, kerajaan bercadang membenarkan pembukaan semula tempat hiburan mulai 1 Disember bagi membantu pemulihan sektor pelancongan dan aktiviti santai terutamanya semasa tahun baharu.

Sejak 1 November, Thailand membuka semula pintu kepada pelancong antarabangsa tanpa perlu menjalani kuarantin yang lama berikutan itu, pengendali pusat hiburan menggesa kerajaan turut membuka semula pub, bar dan karaoke.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Taweesin berkata mesyuarat CCSA pada Jumaat bersetuju untuk mengurangkan jumlah kawasan zon merah gelap daripada tujuh kepada enam iaitu Tak, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla.

“Dalam usaha membendung wabak Covid-19 di zon merah gelap, perintah berkurung dari 11 ​​malam hingga 3 pagi masih dikuat kuasa,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand merekodkan 7,305 kes baharu Covid-19 dan 51 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 2,004,274 dan 19,934 kematian. - Bernama