Datuk maut, cucu parah kereta bertembung lori

Keadaan kereta yang dipandu mangsa remuk dalam kemalangan di KM 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Kuala Rhu Kubur, Marang pada Jumaat. - Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta yang dipandu mangsa remuk dalam kemalangan di KM 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Kuala Rhu Kubur, Marang pada Jumaat. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

MARANG - Seorang lelaki maut, manakala cucunya berusia setahun lapan bulan parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Kuala Rhu Kubur di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Azman Awang, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara cucu lelakinya dikenali sebagai Aisy Mateen Mohd Amin dikejarkan ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Mazda CX5 dipandu mangsa dalam perjalanan menghala ke Kampung Jambu Bongkok untuk pulang ke rumahnya di Kampung Rantau Abang, Dungun.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa dan cucunya itu dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari laluan bertentangan, lalu terbabas ke kanan jalan.

"Mangsa yang tersepit di tempat duduk bahagian pemandu dibawa keluar oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang selepas 15 minit operasi menyelamat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zain berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan: