Pelajar Nigeria mati dalam tahanan atas sebab semula jadi: Koroner

Mahkamah Koroner memutuskan kematian Thomas Orhions Ewansiha ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) pada Julai 2019, adalah atas sebab semula jadi. - Foto 123RF
Mahkamah Koroner memutuskan kematian Thomas Orhions Ewansiha ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) pada Julai 2019, adalah atas sebab semula jadi. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Koroner pada Jumaat memutuskan bahawa kematian seorang penuntut universiti swasta warga Nigeria, Thomas Orhions Ewansiha ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) pada Julai 2019, adalah atas sebab semula jadi.

Koroner Mahyon Talib dalam keputusan inkues lelaki itu berkata, berdasarkan keterangan saksi, Ewansiha meninggal dunia akibat serangan jantung dan tiada keterangan yang jelas kematiannya berpunca daripada pengabaian atau unsur jenayah.

“Menurut seorang saksi inkues, sekiranya si mati diberi rawatan segera berkemungkinan kematiannya dapat dielakkan.

“Namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak depoh Jabatan Imigresen juga telah berusaha untuk menyelamatkan si mati dengan cara menghubungi pihak hospital dengan segera dan memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadapnya,” kata beliau.

Mendiang yang ketika kejadian berusia 33 tahun sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Limkokwing University of Creative Technology meninggalkan seorang isteri dan dua anak kecil.

Mahyon berkata, berdasarkan keterangan paramedik terdapat usaha untuk menyelamatkan si mati dan ia juga diceritakan secara terperinci oleh rakan sel si mati dan seorang lagi tahanan yang ditempatkan di sel bertentangan, mengenai perkara itu.

“Secara keseluruhan, tindakan (untuk menyelamatkan si mati) telah diambil namun nasib tidak menyebelahi si mati,” katanya.

Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga Ewansiha ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan pada Jumaat itu dan memulakan saman sivil terhadap Jabatan Imigresen Malaysia atas sebab kecuaian.

Artikel Berkaitan:

“Ewansiha diberi ubat preskripsi dan rawatan perubatan oleh individu yang tidak berkelayakan. Kami percaya inilah sebab dia mengalami serangan jantung.

“Kami bersetuju dengan mahkamah bahawa beliau telah meninggal dunia atas sebab semula jadi, tetapi kerana tidak diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya, secara tidak langsung menyebabkan kematian Ewansiha,” kata peguam itu.

Sebelum ini, media melaporkan Ewansiha adalah antara 20 warga asing yang ditahan dalam satu Op Bersepadu pada 4 Julai 2019 di kawasan Desa Aman Puri, Kuala Lumpur berikutan aduan awam berkaitan kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.

Bagaimanapun, Ewansiha meninggal dunia pada 9 Julai 2019 ketika berada dalam tahanan Jabatan Imigresen, disyaki terkena serangan sawan ketika sedang tidur. - Bernama