Mangsa banjir perlu jujur jika ada simptom Covid-19

Ahmad (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang anak yatim semasa merasmikan Wisma Ilmu dan Pelancaran Program Anak Yatim di Masjid Al-Ismaili Mukim Morak di Tumpat pada Jumaat.
Ahmad (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang anak yatim semasa merasmikan Wisma Ilmu dan Pelancaran Program Anak Yatim di Masjid Al-Ismaili Mukim Morak di Tumpat pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri perlu jujur sekiranya mereka mempunyai simptom jangkitan Covid-19 dengan memaklumkan terus perkara kepada anggota penyelamat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, makluman itu penting bagi membolehkan pasukan penyelamat mengambil langkah awal untuk menghulurkan bantuan selain memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Saya amat berharap semua mangsa banjir jujur dan tidak menyembunyikan apa-apa maklumat jika mempunyai tanda.

"Mana-mana individu yang didapati positif, kita akan hantar terus ke pusat kuarantin untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Ilmu dan Pelancaran Program Anak Yatim di Masjid Al-Ismaili Mukim Morak di sini pada Jumaat.

Ahmad berkata, kerajaan negeri telah membuat ketetapan untuk mengecilkan jumlah mangsa yang ditempatkan di satu-satu PPS dalam usaha mencegah penularan jangkitan pandemik berkenaan.

Menurutnya, setiap PPS akan menempatkan seramai 80 mangsa sahaja berbanding 200 mangsa bagi tahun-tahun sebelum pandemik melanda.

Katanya, langkah itu juga bertujuan memudahkan penjarakan fizikal dilakukan selain mengelakkan kawasan menjadi sesak.

"Ketika negara dalam fasa ke arah endemik itu, kerajaan mahu rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi musim banjir.

Beliau berkata, persediaan itu merangkumi semua aspek termasuk bekalan makanan dan aset-aset menyelamat yang bakal digunakan apabila banjir melanda.