Universiti Southern California dikosongkan selepas terima ancaman bom

Universiti Southern California - Foto fail AP
Universiti Southern California - Foto fail AP
A
A
A
LOS ANGELES - Pihak berkuasa di Universiti Southern California (USC), sebuah pusat pengajian penyelidikan swasta terkemuka di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mengarahkan beberapa bangunan di universiti tersebut dikosongkan selepas menerima ancaman bom.

“Dewan Grace Ford, Dewan Sampel dan Dewan Wallis Annenberg, diarah dikosongkan disebabkan satu ancaman bom,” menurut Twitter universiti pada tengah hari Khamis, menggesa pelajar dan orang ramai menjauhi kawasan itu.

Menurut Twitter itu, Jabatan Polis Los Angeles dan Jabatan Keselamatan Awam USC melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan.

Setengah jam kemudian, pihak berkuasa mendapati bangunan yang dikosongkan itu selamat dan bangunan lain dibenar dibuka semula.

“Banyak kenderaan polis berada di kampus manakala helikopter berlegar di situ,” kata seorang penuntut USC yang hanya dikenali sebagai Li yang dipetik Xinhua.

Beliau sedang membuat latihan pancaragam di kampus berkenaan sebelum diarahkan keluar dari bangunan bersama rakannya.

“Saya melihat orang ramai segera keluar dari bangunan itu selepas menerima notifikasi universiti tetapi mereka tidak panik,” katanya.

Beberapa sekolah yang terbabit dalam Liga Ivy di Pantai Timur AS, termasuk Yale, Columbia, Cornell dan Brown, turut menerima ancaman bom dan mereka mengarahkan kampus dikosongkan pada awal bulan ini.

Selepas siasatan, polis mengganggap ancaman bom itu sebagai palsu. - Bernama
Artikel Berkaitan: