Bot pukat tunda, tekong warga asing ditahan

Maritim Malaysia Perak menahan sebuah bot pukat tunda yang dikendalikan tekong warga asing yang didapati melanggar syarat sah lesen kira-kira 3.6 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Lumut pada Khamis. - Foto ihsan Maritim Perak
Maritim Malaysia Perak menahan sebuah bot pukat tunda yang dikendalikan tekong warga asing yang didapati melanggar syarat sah lesen kira-kira 3.6 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Lumut pada Khamis. - Foto ihsan Maritim Perak
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot pukat tunda kelas B kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira 3.6 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, di sini pada Khamis.

Bot yang dikendalikan lelaki warga Myanmar ditahan dalam rondaan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan negeri kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tekong berkenaan turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain didapati melakukan aktiviti perikanan dengan menggunakan pukat tunda.

"Bot berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 5 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63.

"Bot bersama kru serta hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 10 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

Artikel Berkaitan: