Dua individu ditahan cuba lari dari polis

Video tular berkenaan menunjukkan kenderaan dinaiki suspek terbabas ke tepi jalan. (Gambar kecil: Zainudin)
Video tular berkenaan menunjukkan kenderaan dinaiki suspek terbabas ke tepi jalan. (Gambar kecil: Zainudin)
A
A
A

TANAH MERAH - Dua individu berusia 29 dan 31 tahun ditahan apabila bertindak melarikan diri daripada diekori pihak polis dalam satu kejadian kejar mengejar pada jam 5.35 petang pada Khamis.

Dalam kejadian berkenaan, kenderaan dipandu dua individu berkenaan dipercayai terbabas di tepi jalan dan video kemalangan berdurasi 16 saat berkenaan mula tular di laman sosial Facebook pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, kejadian bermula apabila sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah membuat rondaan dan terserempak dengan kenderaan yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bendang Nyior, di sini.

"Apabila kereta peronda polis berhenti untuk membuat pemeriksaan, suspek bertindak memecut untuk melarikan diri. Kejar mengejar berlaku termasuklah dengan bantuan unit kereta peronda lain.

"Akhirnya kenderaan suspek terbabas di Kampung Manal iaitu lebih kurang 10 kilometer dari lokasi asal dia ditemui. Suspek hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada berlaku apa-apa perlanggaran dengan orang awam," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu, selain ujian air kencing yang dijalankan mendapati masing-masing positif dadah jenis methamphetamin.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan: