Pengguna sukar dapat minyak masak peket

Rak menempatkan minyak masak peket kosong.
Rak menempatkan minyak masak peket kosong.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rata-rata pengguna mengeluh kerana sukar untuk mendapatkan minyak masak peket sejak kebelakangan ini selepas kebanyakan bekalan di pasar mini dan kedai kedai runcit kehabisan stok.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Sentul mendapati, kebanyakan rak menempatkan minyak masak di kedai runcit serta pasar mini didapati kosong dan jika ada sekalipun pelanggan dihadkan pembelian kepada tiga peket bagi setiap pembeli.

Seorang jurujual di sebuah pasar mini memaklumkan, bekalan minyak masak peket tersebut kehabisan stok kebelakangan ini namun tidak dapat dipastikan puncanya.

"Ramai pelanggan cari minyak masak peket tapi kami jual apabila ada stok sahaja. Kalau ditanya bila akan ada stok, kami pun tak pasti kerana ia bergantung kepada pemborong," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Notis kawalan pembelian minyak paket terhad tiga paket untuk seorang pembeli.
Notis kawalan pembelian minyak paket terhad tiga paket untuk seorang pembeli.

Sementara itu, seorang pengguna, Adnan Leman, 56, mengakui berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket di kedai berhampiran rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya terpaksa cari dua tiga kedai baru jumpa, lepas itu tak boleh beli banyak terhad kepada tiga peket sahaja tetapi harganya masih terkawal RM2.50 per peket.

"Biasanya saya akan buat simpanan untuk kegunaan harian dan jika kehabisan terpaksalah beli minyak jenis botol yang agak mahal harganya," ujarnya.

Adnan mendapatkan stok minyak dari sebuah pasar mini berhampiran rumahnya.
Adnan mendapatkan stok minyak dari sebuah pasar mini berhampiran rumahnya.

Bagi peniaga nasi lemak, Pispawana Latib, 30, berkata, dia biasanya membeli minyak secara pukal melalui pemborong tetap bagi memastikan tidak terputus bekalan.

"Kalau beli dengan pemborong memang ada stok tetapi kalau beli di kedai runcit atau pasar mini memang sukar untuk beli dalam kuantiti yang banyak. Kebanyakan pasar raya juga telah hadkan pembelian, jadi mahu tidak mahu perlu akur.

"Biasanya saya beli dengan pemborong dalam kuantiti banyak, saya pakai untuk berniaga jadi perlu pakai minyak masak yang banyak. Biasanya sekotak cukup digunakan untuk dua kali masak sahaja, jadi jika tiada minyak memang bermasalah," jelasnya.