Banjir di Johor: Hanya satu PPS dibuka di Tangkak

Anggota APM Johor melakukan pemantauan paras air bagi kawalan banjir di Kampung Lukut, Kota Tinggi.
Anggota APM Johor melakukan pemantauan paras air bagi kawalan banjir di Kampung Lukut, Kota Tinggi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keadaan banjir di Johor masih terkawal dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, PPS yang masih beroperasi adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 8 di daerah Tangkak.

"Menerusi maklumat daripada sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), PPS SK Serom 8 ini masih menempatkan seramai 10 mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Parit Pulai, Tangkak.

"PPS SK Serom 8 ini mula dibuka kira-kira jam 3 pagi Khamis selepas kediaman kesemua mangsa dinaiki air akibat hujan berterusan selama lebih tiga jam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Vidyanathan berkata, arahan penutupan PPS itu akan dilakukan sebaik sahaja menerima laporan terkini dan melihat keadaan hujan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, kerajaan akan memastikan operasi pemantauan oleh agensi berkaitan termasuk jawatankuasa setempat akan terus dilakukan sehingga keadaan kembali pulih.

Katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada beberapa kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti kerap dinaiki air sekiranya berlaku hujan lebat secara berlarutan selama beberapa jam.

"Buat masa ini, penduduk dari Tangkak ini sahaja yang perlu dipindahkan kerana kediaman mereka dinaiki air yang agak tinggi namun pemantauan tetap dilakukan di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi ini termasuk beberapa penempatan yang kita kenal pasti di daerah Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru dan Batu Pahat," katanya.