AUKUS sasar pastikan perairan Indo-Pasifik bebas, terbuka

Liz Truss
Liz Truss
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkongsian keselamatan tiga negara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), yang dikenali sebagai AUKUS, adalah untuk memastikan perairan Indo-Pasifik kekal bebas dan terbuka, kata Setiausaha Luar UK, Liz Truss.

Truss yang berada di Malaysia awal minggu ini berkata, AUKUS penting, sebagai tambahan kepada perjanjian keselamatan lain membabitkan UK bersama negara-negara lain di peringkat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

AUKUS, yang diumumkan oleh Presiden AS Joe Biden pada 15 September antara lain akan membolehkan perkongsian keupayaan pertahanan yang lebih luas termasuk membantu melengkapkan Australia dengan kapal selam berkuasa nuklear.

Usaha awal perkongsian itu juga akan tertumpu kepada kerjasama mengenai keupayaan siber, kecerdasan buatan, teknologi kuantum dan keupayaan dasar laut.

AUKUS dilihat pemerhati sebagai pakatan keselamatan baharu untuk menghalang China mengembangkan kuasanya di rantau Indo-Pasifik.

"Ia mengenai usaha bersama rakan dan rakan kongsi kami di seluruh dunia untuk mengekalkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka serta melindungi keselamatan kami," kata Truss dalam temu bual dengan Bernama semasa lawatannya ke sini, pada Isnin.

Setiausaha Luar UK itu berada dalam rangka lawatan kerja sulungnya selama seminggu ke tiga negara Asia Tenggara - Malaysia, Thailand dan Indonesia - untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan meningkatkan kerjasama keselamatan.

"AUKUS adalah bagi memastikan rakan kongsi kami Australia memiliki keupayaan yang diperlukan untuk menjaga keselamatan negara mereka, serta bekerjasama dalam beberapa bidang antaranya bidang siber, tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Di bawah pakatan baharu itu, Australia akan membeli lapan kapal selam berkuasa nuklear-tetapi bukan kapal selam bersenjata nuklear- dari AS atau UK, membatalkan Program Kapal Selam Masa Depan (FSP) dengan Perancis yang sepatutnya membekalkan kapal selam berkuasa diesel kepada negara itu.

Perjanjian AUKUS dilaporkan menyebabkan kerugian kira-kira €56 bilion (AS$64.2 bilion) kepada Perancis.

Pembentukan AUKUS sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan beberapa negara, termasuk Malaysia, bahawa ia boleh mencetuskan tindakan lebih agresif kuasa lain di rantau ini, terutamanya di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Truss juga berkata, UK sangat berminat mengukuhkan perjanjian pertahanannya dengan rakan kongsi yang lain.

“Jadi kami akan bekerjasama dengan rakan dan rakan kongsi kami di seluruh dunia untuk memastikan wujudnya hubungan keselamatan yang kukuh.

“Malaysia merupakan rakan kongsi Komanwel yang sangat penting, begitu juga Australia. Malah kami akan bekerjasama sebagai sebahagian daripada perjanjian lima negara (FPDA),” katanya.

Malaysia dan UK adalah ahli FPDA, bersama-sama Singapura, Australia dan New Zealand.

FPDA menyambut ulang tahunnya yang ke-50 bulan lepas. - Bernama