Mesyuarat khas berkaitan PRN Sarawak Rabu depan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA- Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 akan diadakan pada Rabu depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmal Ishak berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR bermula jam 9 pagi di Kuching, Sarawak.

"Ia bagi membincangkan tarikh-tarikh penting seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain persiapan-persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

"Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 4 November lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan proklamasi darurat di Sarawak.

Kerajaan negeri Sarawak telah terbubar secara automatik kerana telah mencapai tempoh matang.

Al-Sultan Abdullah pada 31 Julai lepas, berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat Sarawak di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos hingga 2 Februari 2022 sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas namun fasal itu tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak menyatakan Seri Paduka Baginda boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.