Sepanyol azam tewaskan Sweden

Pemain Sepanyol, Raul De Tomas (kiri) berusaha melepasi kawalan pertahanan Greece pada perlawanan berkenaan. Gambar kecil: Luis Enrique - Foto EPA
Pemain Sepanyol, Raul De Tomas (kiri) berusaha melepasi kawalan pertahanan Greece pada perlawanan berkenaan. Gambar kecil: Luis Enrique - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Sepanyol, Luis Enrique mahu skuad kendaliannya itu memberikan aksi terbaik bagi mencapai kemenangan ketika berdepan Sweden bagi aksi terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Dunia Zon Eropah pada Isnin.

Menurut Enrique, kemenangan berkenaan sekali gus akan turut menyerlahkan kemampuan sebenar skuad La Roja itu bagi mengharungi saingan yang lebih getir di Piala Dunia, kelak.

“Kami lega atas kemenangan 1-0 ke atas Greece di Athens pada Jumaat kerana dalam masa sama Sweden tewas 0-2 kepada Georgia.

“Ini membuatkan kami berada pada kedudukan teratas Kumpulan B dan kemenangan ke atas Sweden nanti akan menjadikan kami selaku juara kumpulan.

“Oleh itu, sudah pasti situasi berkenaan akan membuatkan kami lebih bersemangat dan bermotivasi untuk ke Piala Dunia kelak,” katanya.

Untuk rekod, Sepanyol menewaskan Greece menerusi jaringan Pablo Sarabia yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26.

Kemenangan itu sekali gus melonjakkan Sepanyol pada kedudukan teratas Kumpulan B dengan 16 mata dan memerlukan hanya dua mata lagi bagi mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

Sementara itu, Enrique mengharapkan agar skuad kendaliannya itu akan memberikan aksi terbaik ketika berdepan Sweden bagi merealisasikan misi kemenangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, biarpun menyedari bakal menerima tentangan sengit daripada skuad The Blagult itu, namun dia percaya kesebelasan pemain yang diturunkan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Kami akan bermain sehabis baik pada perlawanan ini kerana kami tahu kami akan berdepan dengan sebuah pasukan yang bagus dan sukar untuk ditewaskan.

“Kami juga berharap agar penonton yang hadir dapat membantu dengan menjadi pemain ke-12 kami pada perlawanan berkenaan,” katanya.