Kes Amla: Permohonan Rosmah didengar 14 Disember

Rosmah.- Foto fail Bernama
Rosmah.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya, akan didengar pada 14 Disember ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Rosmah, 69, yang memfailkan permohonan itu pada 2 November lepas, memohon perintah bahawa lanjutan daripada penarikan diri Hakim Mohamed Zaini, kes berkenaan akan ditetapkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

“Mahkamah mengarahkan pemohon (Rosmah) memfailkan hujahan bertulis pada 3 Disember manakala responden (pendakwa raya) pada 10 Disember dan kedua-dua pihak, masing-masing perlu memfailkan hujahan balasan pada 19 dan 26 November,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas pada Jumaat, yang turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Thinn.

Sementara itu, Geethan berkata, mahkamah juga menetapkan tarikh sama (14 Disember) untuk perbicaraan hari pertama kes AMLA selain menetapkan 10 hingga 13 Januari dan 24 hingga 27 Januari 2022 untuk sambung bicara.

Poh turut mengesahkan perkara berkenaan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. -Bernama