Ringgit meningkat menjelang pengumuman KDNK

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan sokongan belian yang lebih baik menjelang keputusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2021 Malaysia yang akan dikeluarkan hari ini.

Pada jam 9.01 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1660/1695 berbanding dolar AS daripada 4.1690/1720 pada penutupan Khamis.

Seorang penganalisis berkata, beliau percaya pemulihan ekonomi Malaysia masih berada di landasan yang betul memandangkan negara telah bersedia membuka semula sempadannya kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022.

Namun begitu dari segi luaran, ringgit boleh kekal dalam tekanan berikutan risiko inflasi yang meningkat di Amerika Syarikat (AS).

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peningkatan kadar inflasi AS kepada 6.2 peratus pada Oktober boleh menyebabkan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengubah taktik mereka untuk menambat jangkaan inflasi, kerana indikator daripada pasaran guna tenaga menunjukkan AS rakyat berkemungkinan akan mempercepatkan tabiat berbelanja mereka.

“Dinamik sedemikian akan melonjakkan nilai dolar AS dan ini telah dicerminkan oleh peningkatan ketara dalam Indeks Dolar AS (DXY),” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Berbanding yen Jepun, ia meningkat kepada 3.6467/65014 daripada 3.6545/6574 sebelumnya dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.5649/5696 daripada 5.5835/5876 pada penutupan Khamis.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan turut meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.0748/0778 daripada 3.0754/0781 dan lebih tinggi berbanding euro pada 4.7659/7699 daripada 4.7798/7832 pada Khamis. -Bernama