Sukar jinakkan JDT tapi tidak mustahil

Baddrol (kanan) mengharapkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong hijau kuning untuk meningkatkan motivasi bagi menghadapi JDT pada peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021. - Foto Kedah Darul Aman FC (Gambar kecil, Rodney)
Baddrol (kanan) mengharapkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong hijau kuning untuk meningkatkan motivasi bagi menghadapi JDT pada peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021. - Foto Kedah Darul Aman FC (Gambar kecil, Rodney)
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengakui bukan tugas mudah untuk menjinakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) FC pada suku akhir Piala Malaysia 2021 namun bukanlah mustahil untuk dilakukan.

Ketua Pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar berkata, motivasi tinggi diperlukan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu selain mengharapkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong hijau kuning.

Menurutnya, beliau mengharapkan keajaiban apabila bertemu gergasi bolasepak tanah air tersebut selain memerlukan motivasi tinggi sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

"Kita kena akui kualiti yang dimiliki oleh pasukan JDT kerana mereka adalah paling baik di Liga Malaysia dan tidak mustahil menjadi pasukan gah di Asia Tenggara.

"Kualiti mereka itu dibantu oleh pengurusan baik yang mementingkan kebajikan pemain selain mempunyai fasiliti berkualiti. Saya akui sukar untuk KDA FC jinakkan mereka tetapi tidak mustahil," katanya ketika ditemui pemberita pada petang Khamis di Padang MADA, Alor Setar.

Mengulas aksi pertama suku akhir di Stadium Darul Aman pada Ahad, Baddrol mengakui beberapa pemain utama mengalami kecederaan seperti Rizal Ghazali dan Ariff Farhan Md Isa sekali gus mengganggu persiapan mereka.

"Kami harap keajaiban daripada luar dan dalam padang akan berlaku dan apapun kita lihat nanti apa hasil pada malam perlawanan nanti.

"Semua pasukan akan memberikan aksi terbaik apabila bertemu JDT dan itu juga yang akan diterjemahkan oleh kami pada malam tersebut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pertahanan Kedah, Rodney Celvin mengakui JDT dibarisi ramai pemain berkualiti namun bukanlah halangan untuk KDA FC memberikan aksi terbaik.

"Mereka mempunyai pemain terbaik daripada penjaga gol sehinggalah kepada penyerang. Kami kena sentiasa waspada dengan setiap pergerakan mereka

Saya harap pemain-pemain juga kena bagi fokus yang lebih pada perlawanan ini. Bagi saya pemain JDT ini mereka mempunyai persefahaman yang baik. Walaupun berlaku pengiliran pemain, kualiti mereka tidak jauh beza," katanya.