Tamparan sedarkan rakyat daripada alpa

No Image Caption
A
A
A

ANGKA 59 kematian akibat Covid-19 yang terbaharu dilaporkan ibarat satu tamparan kuat yang menerjah ke pipi kita seluruh rakyat Malaysia.

Ia seolah-olah menyedarkan kita daripada dibuai mimpi dan sikap alpa dengan ancaman pandemik Covid-19 yang masih tinggi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu melaporkan seramai 59 orang menjadi korban baharu ekoran dijangkiti Civid-19 dan daripada jumlah itu sebanyak 10 kes merupakan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara terus meningkat menghampiri angka 30,000 iaitu 29,486 kes.

Bukan itu sahaja, bahkan jumlah kes positif harian yang direkodkan beberapa hari kebelakangan ini juga mencatatkan peningkatan.

Sebanyak 6,323 kes dilaporkan pada Khamis dan jumlah itu melonjak berbanding hari sebelumnya iaitu 6,243 kes pada Rabu, 5,378 (Selasa), 4,543 (Isnin) dan 4,343 (Ahad).

Tidak dinafikan kebebasan pergerakan rentas negeri yang diberikan kerajaan 11 Oktober lalu membuatkan kita 'seakan burung yang terlepas daripada sangkar'.

Sebaik sahaja kelonggaran itu berkuat kuasa selepas hampir sembilan bulan kerajaan melarang aktiviti tersebut, majoriti rakyat tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung berjumpa orang tersayang selain ada yang pergi bercuti.

Artikel Berkaitan:

Berduyun-duyun kenderaan dilihat memasuki kawasan pelancongan popular seperti Cameron Highlands, Genting Highlands dan Port Dickson hingga jalan sesak teruk.

Pulau peranginan diseluruh negara terutama Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Redang turut dibanjiri ramai pelancong sehingga kini.

Dek penangan rentas negeri itu juga, tempahan bilik hotel, rumah tumpangan dan inap desa di seluruh kawasan-kawasan peranginan itu juga penuh hinggakan mereka yang melakukan tempahan pada saat akhir terpaksa membayar pada harga berkali ganda lebih tinggi.

Namun, situasi itu tidak dipertikaikan kerana kita faham kebenaran rentas negeri yang diberikan kerajaan sememangnya untuk merancakkan semula ekonomi termasuk menghidupkan semula sektor pelancongan.

Apa yang merisaukan ialah sikap rakyat yang cepat alpa dan semakin mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 terutama apabila sedang bercuti atau berada di pusat pelancongan yang dibanjiri ramai orang.

Beberapa hari laju juga kita dikejutkan dengan video tular yang memaparkan keadaan sesak didakwa beraku di Taman Tema Sunway Lagoon.

Menerusi video itu, pengunjung dilihat bersesakan di salah sebuah kolam air sehingga mengabaikan penjarakan fizikal.

Media pada Khamis melaporkan bahawa polis sedang menjalankan siasatan terperinci tentang dakwaan pelanggaran SOP berkenaan.

SOP sememangnya sukar dipatuhi jika kita berada di kawasan dipenuhi orang namun sekiranya kita kekal berdisiplin melakukan kawalan kendiri atau mengelakkan diri daripada pergi ke lokasi tumpuan ramai kita akan dapat membantu negara untuk terus menurunkan angka jangkitan harian.

Biarpun setakat ini lebih 95 peratus kadar populasi dewasa di negara ini telah lengkap divaksin namun kita perlu terus berwaspada kerana vaksinasi bukanlah menghalang daripada jangkitan berlaku tetapi hanya mengelakkan diri daripada mengalami komplikasi teruk seandainya dijangkiti wabak itu.

Perkara yang perlu semat di dada ketika ini adalah hakikat sebenar iaitu kita belum menang dan virus pembunuh Covid-19 masih berada di sekeliling kita!