Melaka ‘pusara’ Muafakat Nasional?

Satu pandangan mengatakan MN sudah pun berkubur. Melaka hanyalah paku terakhir di keranda gabungan berusia dua tahun itu susulan ketidak sepakatan kedua-dua parti di dalamnya yang menganggotai dua gabungan berbeza, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Satu pandangan mengatakan MN sudah pun berkubur. Melaka hanyalah paku terakhir di keranda gabungan berusia dua tahun itu susulan ketidak sepakatan kedua-dua parti di dalamnya yang menganggotai dua gabungan berbeza, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
A
A
A

TIMBUL persoalan tentang status Muafakat Nasional (MN) susulan pertembungan dua parti anggotanya, UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 pada 20 November ini.

Satu pandangan mengatakan MN sudah pun berkubur. Melaka hanyalah paku terakhir di keranda gabungan berusia dua tahun itu susulan ketidak sepakatan kedua-dua parti di dalamnya yang menganggotai dua gabungan berbeza, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Antara yang mendukung pandangan ini ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis yang berkata MN bukanlah satu kerjasama politik yang terjalin untuk jangka masa panjang.

Katanya, apabila Pas menolak tawaran UMNO untuk bertanding di kerusi-kerusi tertentu dengan menggunakan lambang sendiri berbanding menggunakan lambang PN dalam satu lagi gabungan, ia merupakan perkara yang menarik untuk diperhatikan.

Pertembungan kedua-dua parti itu yang merupakan parti-parti yang mendukung kerajaan di peringkat persekutuan juga amat menarik perhatian kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Selain penganalisis tersebut, pandangan yang mengatakan MN sudah mati juga diangkat tokoh veteran UMNO penuh kontroversi, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini.

Beliau malah tanpa berselindung menyatakan MN telah sama ada berkubur atau sudah lama mati tak ada kubur apabila menyatakan tiada keikhlasan antara penyokong mereka di peringkat bawahan.

Satu lagi pandangan walau bagaimanapun kekal menyatakan betapa gabungan yang dimeterai dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka PWTC pada September 2019 itu masih bernyawa.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Tan Sri Annuar Musa punya pandangan berbeza dengan mentor politiknya, Tengku Razaleigh apabila berpandangan MN masih wujud terutamanya di peringkat persekutuan.

Jelasnya, persaingan di peringkat negeri bukanlah sesuatu yang pelik bagi parti-parti yang bersama di peringkat pusat kerana ia turut berlaku di negara lain.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata persaingan antara kedua parti itu juga tidak bermakna hubungan mereka terputus.

Rakannya dalam Kabinet, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad senada dengan beliau apabila berkata perlawanan antara UMNO dengan Pas di Melaka hanyalah perlawanan ‘persahabatan’.

Timbalan Presiden Pas itu mempertahankan hubungan kedua-dua parti itu tidak terjejas dalam MN malah partinya masih mahu jadi pendamai dalam kalangan mereka.

Memandangkan masih tiada pengumuman rasmi berhubung status MN pada ketika ini, kita hanya boleh menebak apakah akan jadi kepada gabungan ini selepas PRN Melaka nanti.

PRN Melaka mungkin menyaksikan bahawa selepas ini gabungan parti politik akan dibuat berdasarkan situasi setempat dan semasa, berbanding penyeragaman menyeluruh dari persekutuan ke negeri-negeri seperti sebelum ini.

Sebagai contoh di Selangor, MN barangkali masih relevan memandangkan UMNO dan Pas kelihatan seperti tidak ada pilihan lain untuk tidak bekerjasama demi mencabar Pakatan Harapan (PH) yang punya bilangan kerusi yang agak terlalu jauh untuk mereka kejar jika bergerak sendirian.

Namun bagi negeri-negeri yang memperlihatkan kekuatan seimbang antara kedua parti tersebut terutamanya di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, situasinya barangkali berbeza.

Maka sifir berbeza antara negeri-negeri dan persekutuan melibatkan gabungan parti adalah antara kemungkinan yang boleh kita lihat selepas ini berlaku dalam politik negara kita.

Malah tidak mustahil persepakatan boleh dibuat merentas parti melibatkan tiga gabungan besar; BN, PN, dan PH, terutamanya selepas pilihan raya.

Dinamika politik kita sudah berubah jauh, maka jika berlaku yang lebih pelik daripada ini selepas ini, jangan terkejut!

*Haizir Othman ialah Ketua Bahagian Website PRU Sinar Harian