Terpaksa tanggung sakit angkut air

Prasant (tiga dari kanan) turun padang mendengar rintihan penduduk yang terkesan.
Prasant (tiga dari kanan) turun padang mendengar rintihan penduduk yang terkesan.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Kira-kira 700 penduduk Kampung Seri Kesang, Rim mengharapkan kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini mampu menyelesaikan gangguan bekalan air didakwa dihadapi mereka sejak lebih 20 tahun lalu.

Mantan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Mohamad Zain Samsudin, 66, berkata, masalah tekanan air rendah itu menyebabkan bekalan air untuk kegunaan harian penduduk sering terputus.

Katanya, tangki air sedia ada sudah tidak sesuai digunakan kerana populasi penduduk makin bertambah dan kawasan tersebut pula tinggi dipercayai menjadi punca berlaku tekanan air yang rendah.

"Isu air ini menyebabkan kami rasa terpinggir. Jadi, kami minta satu takungan yang betul dan berfungsi dengan baik supaya orang kampung tidak putus bekalan air.

"Diharap wakil rakyat yang mewakili kawasan ini nanti buat tindakan susulan dan buat tangki lebih besar kerana di sini, ada 160 buah rumah dan lebih kurang 700 penduduk, tapi masih gunakan tangki air yang sudah 30 tahun," katanya.

Rintihan itu disuarakan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Prasanth Kumar Brakasam yang turun padang ke kawasan itu pada Rabu.

Penduduk mengadu mahu tangki takungan air baru dibina
Penduduk mengadu mahu tangki takungan air baru dibina

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Shafarinah Samat,46, berkata, dia juga kecewa dengan masalah itu kerana pernah berdepan ketiadaan bekalan air selama 16 hari sebelum pemasangan lima tangki statik yang ada ketika ini.

Kata Shafarinah, dia mengharapkan kerajaan yang bakal dibentuk nanti dapat mengubah nasib penduduk yang menghadapi permasalahan tersebut.

"Saya terpaksa menanggung sakit setiap kali kena angkut air, seperti kesan jahitan akibat pembedahan sewaktu melahirkan anak rasa nak terbuka.

"Sejak tiga dan empat tahun kebelakangan ini, dalam tempoh sebulan pasti ada masalah bekalan air. Kasihan kepada golongan warga emas yang terpaksa angkut air," katanya.

Sementara itu, Prasanth berkata, beliau dimaklumkan masalah gangguan bekalan air di situ kerap berlaku kebelakangan ini menyebabkan penduduk terkesan.

Katanya, ketika PH memerintah kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan dan telah meluluskan projek penyambungan paip untuk mengepam air dari Tasik Biru Cincin ke empangan Durian Tunggal.

"Pada 2019 kerajaan PH telah meletakkan tangki statik namun masalah tidak selesai kerana memerlukan penyelesaian jangka panjang," katanya.

Beliau menjanjikan penyelesaian sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.