Bila sudah kembali sibuk, ada yang rindu suasana 'lockdown'

Lembah Klang mengalami kesesakan agak luar biasa berbanding minggu-minggu sebelumnya. Foto Bernama
Lembah Klang mengalami kesesakan agak luar biasa berbanding minggu-minggu sebelumnya. Foto Bernama
A
A
A

SEJAK awal minggu ini, beberapa rakan Merak Jalanan yang tinggal di Lembah Klang mengeluh apabila terpaksa meredah kesesakan lalu lintas setiap kali pergi dan balik dari pejabat. Katanya, kesesakan agak luar biasa berbanding minggu-minggu sebelumnya.

Suasana itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana banyak syarikat sudah memanggil semula kakitangannya kembali bertugas di pejabat selepas sekian lama bekerja dari rumah.

Ditambah pula dengan pembukaan sekolah secara bersemuka. Bagi ibu bapa bekerja, mereka sudah mula sibuk menghantar anak ke pusat asuhan.

Ada beberapa kenalan Merak Jalanan yang mengatakan mereka rindu suasana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown. Seronok bekerja dari rumah, tidak perlu bersusah payah bersiap dan menghadap kesesakan lalu-lintas setiap kali ke pejabat.

Paling menarik, dapat meluangkan masa yang banyak bersama keluarga yang jarang dinikmati sebelum ini kerana kesibukan bekerja. Duit pun jimat, tidak perlu berbelanja untuk minyak kereta, tol, melancong atau membeli-belah.

Tapi yang rindu itu adalah mereka yang mempunyai pendapatan tetap atau makan gaji. Bagi mereka yang berpendapatan secara harian, lockdown merupakan satu pengalaman perit tetapi terpaksa dilalui untuk kebaikan semua.

Apa pun, kita tidak boleh setiap masa hidup dalam keadaan ‘terkurung’ dan berjauhan dengan keluarga atau sanak saudara.

Kehidupan perlu diteruskan kerana banyak perkara tertinggal terutama melibatkan pendidikan anak-anak akibat penguatkuasaan PKP.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa mereka perlu bergerak ke hadapan meneruskan hidup seperti biasa, namun dengan suasana norma baharu dan berhati-hati kerana Covid-19 masih belum reda.

Bagi Merak Jalanan, biarlah lockdown terpahat sebagai satu kenangan dan bukan acara tahunan.