Muhyiddin minta kerajaan beri kelonggaran calon temui pengundi

Muhyiddin. - Foto fail Bernama
Muhyiddin. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk berkempen dengan bertemu pengundi.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau memahami prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan untuk mengawal pandemik Covid-19, namun ruang harus diberikan kepada calon.

"Apa pun keadaannya, saya minta kerajaan memberikan pertimbangan dan kelonggaran dengan SOP yang ada dengan memberikan ruang dan kebebasan kepada calon untuk mereka turun padang.

"Ini kerana kalau calon tak turun berjumpa dengan pengundi, saya kira itu tidak memberikan gambaran yang baik seolah-olah kita sombong," katanya ketika berucap pada Pentas PRN Melaka yang berlangsung di Glenmarie Hotel & Golf Resort di sini pada malam Khamis.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada 24 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu dengan melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penetapan itu dibuat kerana kementerian berkenaan risau disebabkan banyak majlis politik tidak mematuhi SOP mengekang penularan Covid-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum itu menetapkan PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November depan selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, kebanyakan pengundi terutama di kawasan kampung berharap calon datang berjumpa mereka namun perkara itu tidak dapat dibuat ekoran halangan yang dibuat kerajaan.

Tegas beliau, sekatan sebegitu tidak seharusnya dikenakan kepada calon pilihan raya.

Sementara itu, Muhyiddin turut meminta agar kerajaan membuka ruang kepada PN memperkenalkan calon mereka menerusi televisyen (TV).

"Semalam saya tengok di TV nampaknya macam tak ada parti lain bertanding sebaliknya hanya Barisan Nasional (BN) sahaja.Pakatan Harapan (PH) ada sedikit sebanyak tetapi PN tiada langsung.

"Situasi ini tidak menggambarkan kesaksamaan dari segi pembahagian jangka waktu untuk kita memperkenalkan calon dan parti kita," katanya.

Justeru itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta stesen TV berlaku adil.

Katanya, agar PN juga diberikan ruang memperkenalkan calon yang bertanding dalam keadaan yang masih sukar sekarang kerana negara masih bergelut dengan pandemik.