SOP PRN Melaka rugikan rakyat: Mas Ermieyati

Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin
A
A
A

MELAKA - Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan hanya menjejaskan kempen calon daripada semua parti yang bertanding tetapi juga merugikan rakyat.

Beliau berkata, ini kerana secara lazimnya rakyat akan memperoleh manfaat lebih banyak dengan komitmen yang akan diberikan pelbagai kementerian ketika pilihan raya.

“Perkara yang bagus pada pilihan raya ini adalah masa terbaik untuk rakyat menerima lebih banyak manfaat. Malang sekali, kerajaan ini tidak membenarkan untuk kementerian turun.

“Jadi, apabila kementerian tidak boleh turun, tiada pengumuman boleh dibuat, jadi komitmen daripada kerajaan menjadi terbatas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Mana-mana pilihan raya yang berlangsung sebelum ini kebiasaannya meriah dengan pelbagai program daripada pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk kementerian yang terlibat.

Acara-acara turun padang itu juga lazimnya akan disusuli dengan pelbagai pengumuman peruntukan bagi menyelesaikan masalah setempat.

Namun, susulan PRN Melaka yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan larangan terhadap penganjuran sebarang perhimpunan daripada mana-mana pihak yang bertanding.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang juga calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, beliau menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRN Melaka adalah 50 hingga 60 peratus berbanding 70 peratus yang nyatakan SPR.

Artikel Berkaitan:

“Bagi DUN di bawah Parlimen Masjid Tanah, ramai pengundi luar dijangka akan pulang mengundi dan saya harapkan ia memberi kelebihan buat saya,” katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my