X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

TH serah lebih RM2.1 juta zakat perniagaan kepada MUIS

Hajiji (empat dari kanan) bersama Mohd Arifin (lima dari kanan), Safar (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan zakat perniagaan TH daripada Nurlaila kepada Malai Ali. - Foto Facebook TH
A
A

KOTA KINABALU - Lembaga Tabung Haji (TH) pada Khamis menyerahkan zakat perniagaan berjumlah lebih RM2.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 2020 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said menyerahkan pembayaran zakat itu kepada Timbalan Pengerusi MUIS, Malai Ali Malai Ahmad, disaksikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu di sini.

Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Nurlaila dalam kenyataannya berkata, bayaran zakat untuk Sabah itu mencatatkan peningkatan berbanding 2019 yang berjumlah RM1.77 juta.

“Saban tahun TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai sebuah organisasi Islam prihatin, dengan harapan untuk memperkasa kewangan Islam dan pembangunan sosioekonomi ummah bagi manfaat golongan asnaf di Sabah,” katanya.

Sementara itu, dalam taklimat ringkas beliau kepada Hajiji, Nurlaila berkata, TH telah menyerahkan sumbangan van menerusi Program Mobiliti yang julung kali diadakan di Sabah.

“Sepanjang 2020, TH terus memperkasakan lagi aspek kebertanggungjawabannya dengan pelaksanaan pelbagai program zakat bersasar, khususnya kepada golongan memerlukan melalui pengagihan bagi tujuan pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!