Koridor perjalanan Malaysia-Jakarta sinar baharu pekerja industri penerbangan

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

BATU PAHAT - Pelaksanaan koridor perjalanan antara Malaysia-Indonesia yang dipersetujui oleh pemimpin kedua-dua negara itu dijangka memberi 'sinar baharu' kepada pekerja dalam industri penerbangan di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, bagi menjayakan koridor perjalanan membabitkan kedua-dua negara berkenaan, pembukaan semula sempadan secara selamat dan terperinci akan dilakukan bagi memastikan keselamatan rakyat terjaga ketika masih berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

"Saya difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo sudah mencapai kesepakatan bahawa penerbangan dari Jakarta ke Kuala Lumpur akan dibuka kembali.

"Dengan pembukaaan ini (koridor perjalanan), ia dinantikan oleh anak-anak kita yang bekerja dalam industri penerbangan seperti pramugara, juruterbang dan mereka yang dalam bidang logistik akan kembali bertugas, mereka menantikan semua ini. Kita (kerajaan) pastinya akan buka (koridor perjalanan) secara berhati-hati, waspada dan teratur tatkala berhadapan dengan pandemik Covid -19," katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian 163 Helai Jubah Kepada Imam dari 32 masjid dan surau di Ayer Hitam di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan untuk melaksanakan koridor perjalanan di antara kedua-dua negara, pasca Covid-19 hasil lawatan sulungnya ke republik itu.

Kedua-dua negara mencapai persetujuan untuk melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-duanya melalui aturan Aturan Koridor Perjalanan (TCA) atau Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL).

Koridor perjalanan itu apabila dilaksanakan kelak akan memberi keutamaan kepada mereka yang sudah lengkap divaksinasi bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan.

Selain itu, koridor perjalanan itu juga akan membabitkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi Covid-19 dan standard keputusan ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif berkenaan dijangka dapat dimuktamadkan dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2022. - Bernama