Bomba guna helikopter selamatkan pendaki cedera di Gunung Tahan

Mangsa berjaya diselamatkan dibawa menaiki helikopter pada Khamis.
Mangsa berjaya diselamatkan dibawa menaiki helikopter pada Khamis.
A
A
A

JERANTUT - Seorang wanita diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang pada Khamis selepas mengalami kecederaan di pergelangan kaki dan lutut kanan akibat tergelincir ketika turun dari Gunung Tahan.

Akibat kecederaan itu, Nur Kharatul Syafini, 40, yang berada di Kem Botak, Gunung Tahan terpaksa dibawa turun menggunakan helikopter.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa bersama seorang pemandu arah dan sembilan pendaki masuk ke trek Gunung Tahan pada Isnin.

"Bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 10.29 malam Rabu.

"Bagi menyelamatkan wanita berkenaan, tiga pemandu arah naik ke trek tersebut pada Rabu manakala jam 8 pagi Khamis, seramai enam anggota bomba diketuai Penolong Penguasa Bomba, Mohd Nizar Ma'mun serta lima kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama orang awam telah ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa melalui jalan darat.

"Bagaimanapun, Unit Udara Bomba dipanggil untuk menjalankan operasi menyelamat melalui udara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, pada jam 2.29 petang, anggota unit udara berjaya mengesan kedudukan mangsa dan dua minit kemudian dibawa naik ke dalam helikopter.

"Helikopter yang membawa mangsa tiba di padang sivik pada jam 2.25 petang Khamis. Mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang," katanya.

Artikel Berkaitan: