Najib cadang usaha sama 1MDB dengan Aabar: Saksi

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Khamis diberitahu bahawa usaha sama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan anak syarikat International Petroleum Co (IPIC) iaitu Aabar Investment PJS (Aabar) merupakan cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kepada beliau dan syarikat hasil usaha sama tersebut, Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC), telah didaftarkan di Kepulauan Virgin British pada 5 Mac 2013 oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo.

Azmi berkata, beliau tidak tahu secara terperinci tujuan sebenar penubuhan ADMIC tetapi memandangkan perkara itu telah ditetapkan oleh Jasmine, ia pasti adalah kehendak Jho Low.

“Saya mula diarahkan secara aktif oleh Jho Low apabila terdapat cadangan oleh beliau untuk menjalinkan usaha sama dengan Aabar pada hujung 2012 dan saya sebagai CFO akan dilibatkan dalam setiap tindakan yang membabitkan proses kewangan.

“Termasuklah pada tahun 2013, ketika itu Jho Low dan Datuk Seri Najib sedang berusaha untuk memastikan usaha sama antara G to G (kerajaan dengan kerajaan) melibatkan Abu Dhabi dan Malaysia dijayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, cadangan usaha sama antara Abu Dhabi dan Malaysia dimulakan dengan Parcel A.1.0 di TRX namun ia tidak dilaksana kerana terdapat beberapa perubahan selepas itu.

“Kemudian (ada) satu lagi rancangan usaha sama dengan Aabar berkaitan pelaburan dan pembangunan aset hartanah namun saya juga tidak terlibat kerana ia berada di bawah seliaan bahagian pelaburan dan Jasmine. Setahu saya, rancangan usaha sama ini juga tidak jadi.

Artikel Berkaitan:

“Selepas kedua-duanya gagal, Jho Low telah merancang usaha sama ketiga yang dinamakan ‘Projek Pemangkin’ dan beliau mengarahkan Loo untuk mengetuai projek itu kerana ia melibatkan kutipan dana sebanyak AS$6 bilion memandangkan Jasmine lebih mahir dalam mata wang tersebut,” katanya.

Azmi berkata, pada awal perbincangan mengenai projek ini, Jho Low telah mengeluarkan cadangan untuk menggunakan ‘Letter of Comfort’ Kementerian Kewangan sebagai jaminan kepada penerbitan bon ini.

“Projek ini merupakan arahan Datuk Seri Najib melalui Jho Low dan Jho Low telah mengarahkan untuk mempercepat prosesnya terutama dari segi mendapatkan terbitan bon. Disebabkan itulah ia dilakukan secara tergesa-gesa dan sangat cepat,” katanya.

Azmi kemudian dirujuk kepada surat sokongan bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Najib iaitu Menteri Kewangan ketika itu bagi mewakili Kerajaan Malaysia.

Saksi itu berkata, surat tersebut bertujuan menyokong penerbitan bon berjumlah AS$3 bilion dan sebagai satu jaminan yang akan meletakkan tanggungjawab serta komitmen kepada kerajaan sekiranya 1MDB gagal membuat pembayaran semula.

“Datuk Seri Najib telah meluluskan surat sokongan ini dengan menandatanganinya dalam tempoh yang singkat. Ia selari dengan apa yang dimaklumkan oleh Jho Low kepada kami bahawa Najib akan meluluskannya dan kami tidak perlu risau tentang kelulusan tersebut,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Bernama