Kes Covid-19 di Kelantan meningkat ketika negeri lain stabil

Mengikut data CovidNow, bagi tempoh bermula dari 4 November hingga 11 November 2021, kes harian di Kelantan meningkat dari 484 kes kepada 806 kes.Gambar hiasan
Mengikut data CovidNow, bagi tempoh bermula dari 4 November hingga 11 November 2021, kes harian di Kelantan meningkat dari 484 kes kepada 806 kes.Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika negeri lain merekodkan kes harian penularan Covid-19 agak stabil, Kelantan merekodkan peningkatan kes dalam tempoh seminggu dipercayai berkaitan cuti umum sempena perayaan Deepavali pada 4 November lalu.

Mengikut data CovidNow, bagi tempoh bermula dari 4 November hingga 11 November 2021, kes harian di Kelantan meningkat dari 484 kes kepada 806 kes.

Peningkatan mendadak di negeri tersebut direkodkan pada 8 November lalu iaitu sebanyak 820 kes berbanding dengan 376 kes pada hari sebelumnya.

Pada Rabu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, antara faktor menyebabkan berlakunya situasi tersebut adalah akibat aktiviti perhimpunan aktiviti sosial dan kemasukan penduduk dari luar negeri dalam tempoh tersebut.

Katanya, turut menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak optimum dan penularan varian Delta di negeri tersebut.

Walaupun jumlah kes direkodkan di Kelantan itu masih rendah jika dibandingkan dengan bilangan kes harian sebelum kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri pada 11 Oktober lalu, namun rakyat di Kelantan seharusnya mengambil langkah berhati-hati supaya trend penularan dapat diturunkan.

Tambahan pula, jumlah kadar vaksinasi daripada keseluruhan populasi di Kelantan merupakan yang kedua terendah di dalam negara iaitu hanya 59 peratus.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia di negeri lain perlu sentiasa berhati-hati dan dan sentiasa mengamalkan pencegahan Covid-19 memandangkan kebanyakan SOP di kebanyakan negeri telah diberikan kelonggaran selari dengan Pelan Pemulihan Negara.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, risiko berlakunya penularan Covid-19 perlu terus diawasi memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Melaka dan Sarawak.